Pasangan China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi seperti diketahui sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menggagalkan impian mereka untuk ke separuh akhir Sukan Asia (Asian Games) 2022.

Kekalahan dihadapan penyokong sendiri itu hadir kira-kira sebulan lebih selepas mereka turut kecundang dalam Kejohanan Dunia 2023, juga ketika bertemu lawan yang sama di peringkat suku akhir.

Selain daripada kekalahan tersebut, Yu Chen terpaksa beraksi sambil menahan kesakitan apabila ibu jari kakinya dilihat melecet sehingga berdarah.

Manakala separuh daripada bahagian hadapan bawah kaki beliau turut menunggu masa untuk turut sama melecet. Itulah harga sebuah perjuangan bagi seorang atlet.

Keadaan kaki Liu Yu Chen selepas pertemuan dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Kredit Foto: Badtalk

Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Yu Chen yang kini berada di ranking kelapan dunia memuji prestasi yang ditampilkan oleh Aaron dan Wooi Yik.

“Perjalanan dalam Sukan Asia sudah berakhir.  Matlamat kami untuk mengekalkan kejuaraan dalam acara berpasukan sudah berjaya.”

“Kami gagal untuk bersaing untuk mendapatkan pingat dalam acara individu (beregu lelaki). Kami kalah kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.”

“Ini membuatkan saya kecewa tetapi dalam masa yang sama saya ucapkan tahniah kepada mereka. Prestasi mereka lebih baik untuk mara ke pusingan seterusnya.”

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka kerana layak ke pusingan seterusnya,” ujar Yu Chen menurut sumber laporan Badtalk.

 

Sumber